Tealive, jenama teh gaya hidup terkemuka di Asia Tenggara, memperkenalkan produk terbaharu dalam bentuk sachet 3-dalam-1, yang membolehkan pengguna menikmati minuman teh susu, kopi dan coklat kegemaran mereka di mana-mana sahaja.
Langkah ini menandakan kemasukan rasmi Tealive ke pasaran barangan pengguna bergerak pantas (FMCG), dalam usaha mendekatkan jenama tersebut kepada pengguna mahu lebiih fleksibel dalam gaya hidup harian.
Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding, Bryan Loo, pelancaran ini membuka ruang baharu bagi jenama Tealive untuk berkembang ke peringkat seterusnya.
“Kami mahu menjadikan rasa kegemaran Tealive lebih mudah diakses oleh para peminat kami,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran rasmi yang diadakan di pusat beli-belah IOI City Mall, Putrajaya.
“Rangkaian 3-dalam-1 ini membawa detik istimewa Tealive ke dalam rutin harian sama ada ketika dalam perjalanan, bekerja, atau berehat di rumah,” katanya.
Tambah beliau, produk ini dibangunkan dengan fokus terhadap kualiti bahan dan pengalaman pengguna, agar setiap bancuhan menghadirkan rasa yang hampir sama seperti minuman di cawangan Tealive.
Bekas Menteri dan penyokong usahawan tempatan, Khairy Jamaluddin, turut hadir merasmikan pelancaran ini. Dalam ucapannya, beliau menyifatkan usaha Tealive sebagai contoh bagaimana produk buatan Malaysia boleh bergerak ke pasaran antarabangsa tanpa kehilangan identiti asal.
“Ini bukan sekadar pelancaran produk. Ini strategi untuk membawa cita rasa Malaysia ke peringkat global,” katanya.
Produk sachet ini akan mula dijual 15 Jun 2025 secara eksklusif di pasar raya AEON, cawangan Tealive terpilih, serta platform e-dagang rasmi. Setiap kotak dijual pada harga RM12.90, mengandungi lima hingga enam sachet, bergantung kepada varian.
Tea live kini berada di lebih 10 negara termasuk Filipina, Brunei, Vietnam, Kanada dan Mauritius. Produk sachet ini dijangka dilancarkan di pasaran India dan Thailand sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan global jenama tersebut.

