Watak adiwira kegemaran ramai era 90-an kembali ke layar perak, namun sayangnya sambutan tidak seindah yang diharapkan, biarpun dengan promosi besar-besaran yang digerakkan. Keluang Man, adaptasi aksi nyata daripada animasi ciptaan Allahyarham Kamn Ismail yang pernah menghiasi kaca TV dari tahun 1998 hingga 2005 dengan 140 episod, dilihat sebagai usaha berani mengangkat warisan budaya pop tempatan ke tahap baharu.
Namun, selepas 18 hari tayangan, filem yang menelan belanja sebanyak RM13 juta itu hanya berjaya mengutip RM2.3 juta, dengan jumlah tontonan sekitar 141,000 penonton sahaja, menurut laporan rasmi FINAS. Filem ini jauh ketinggalan berbanding Ejen Ali The Movie 2 yang berjaya meraih lebih RM50 juta dalam tempoh sama.
Dari segi sejarah, ini sepatutnya menjadi detik penting buat sinema tempatan — kerana ia merupakan filem adiwira pertama Malaysia yang diadaptasi daripada animasi tempatan, bukan diinspirasikan dari luar seperti kebanyakan karya adiwira lain. Tapi apa yang tersasar?
Berikut antara faktor-faktor yang dikatakan menjadi punca kegagalan Keluang Man menarik perhatian penonton, menurut pengkritik dan maklum balas penonton sendiri:

Aksi tak cukup bertenaga
Babak pertarungan dilihat terlalu banyak potongan, penggunaan ‘slow motion’ yang berlebihan, dan kurang impak visual. Penonton mahukan koreografi yang lebih kemas dan realistik, bukan gaya suntingan yang kaku dan berpecah-pecah.
CGI yang janggal
Pengkritik mempersoalkan mutu CGI dalam beberapa babak yang kelihatan tidak realistik dan kelihatan murah — sekali gus mencacatkan pengalaman menonton secara keseluruhan.
Nada cerita bercelaru
Gabungan elemen serius, komedi dan trauma psikologi gagal disatukan secara harmoni. Penonton keliru: adakah ini filem adiwira, drama kesihatan mental, atau sebuah parodi?
Skrip dan tempo longgar
Banyak babak terasa terlalu lambat dan tidak membantu perkembangan plot. Beberapa watak sampingan pula dirasakan hadir sekadar pengisi, tanpa memberikan kesan signifikan kepada jalan cerita.
Terlalu banyak produk penajaan
Beberapa pengkritik menegur penggunaan produk penajaan yang terlalu ketara dalam banyak babak. Walaupun difahami bahawa filem berskala besar memerlukan penajaan bagi menampung kos produksi, namun pendekatan yang lebih bijak dan kreatif seharusnya diambil agar ia tidak mengganggu fokus penonton.
TAKEAWAY SISI
Nostalgia boleh tarik perhatian, tapi belum tentu mampu kekalkan minat kalau cerita dan kualiti teknikal tak cukup kuat.
Keluang Man buktikan satu perkara membina semesta adiwira tempatan perlukan lebih dari sekadar nama besar dan bajet besar.
Kalau ini permulaan filem adiwira Malaysia, bab seterusnya kena lebih berani, lebih kemas, dan paling penting lebih jujur dengan penonton.

