Selepas hampir tiga dekad tidak membuat persembahan berskala besar, kumpulan rap legenda tanah air, 4U2C, bakal menggegarkan pentas menerusi konsert eksklusif WE 4U2C pada 15 September di Idea Live Arena, Petaling Jaya, Selangor.
Konsert ini menjadi momen bersejarah buat kumpulan yang pernah mencipta fenomena dalam dunia hip-hop Malaysia era 90-an. Membawa tema Bringin’ Back Da 90’s Flava, 4U2C mahu menghidupkan semula aura zaman kegemilangan mereka menerusi persembahan yang lebih segar dan moden.

Menurut anggota kumpulan merangkap ikon hiburan tanah air, Datuk AC Mizal, idea untuk menjayakan konsert ini tercetus daripada isterinya, Datin Emylia Rosnaida, sebelum ia direalisasikan oleh penganjur, Juss Event Sdn. Bhd.
“Konsert ini memang salah satu impian saya dari dulu lagi. Idea asal daripada isteri saya, dan bila Juss Event datang dengan tawaran rasmi, saya anggap ia rezeki dan datang tepat pada waktunya,” katanya pada sidang media.
Katanya lagi, konsert ini bukan sekadar untuk bernostalgia atau mencipta sejarah baharu, sebaliknya mahu menjadi penanda aras baharu buat industri muzik tanah air,
Mereka juga mahu membuktikan kumpulan 4U2C masih relevan serta mampu menjadi trendsetter kepada generasi artis hari ini.
“Kami bukan sekadar nak mengimbas kenangan. Kami nak tunjuk bahawa Malaysia memang ada artis yang boleh menyanyi, menari dan menghibur secara menyeluruh,” ujarnya.
Menambah keterujaan peminat, 4U2C turut mengumumkan pelancaran tiga single baharu tahun ini masing-masing satu lagu balada dan dua lagu rancak yang disesuaikan dengan cita rasa pendengar semasa. Lagu-lagu ini dijangka akan dipersembahkan buat pertama kali di malam konsert tersebut.
Selain AC, 4U2C mempunyai enam ahli lain iaitu Aren, Yanz, Rinz, Lanz, Charlie dan Azam.
Komposer ternama Aubrey Suwito bakal menggalas tanggungjawab sebagai pengarah muzik untuk konsert ini, disokong oleh barisan pemuzik profesional yang berpengalaman luas dalam industri.
WE 4U2C turut mendapat kerjasama dan tajaan daripada syarikat Millennium Group, Giant Malaysia (rakan kongsi pengaktifan runcit) dan Uncle Jack (rakan rasmi makanan dan minuman).
Tiket konsert akan mula dijual pada 30 Jun ini menerusi platform Ticket Empire dan Fantopia, dengan harga bermula RM155 hingga RM555 untuk tingkat bawah, dan RM255 hingga RM505 bagi tingkat atas.

