Dari gelanggang ke gerbang perkahwinan pemain beregu badminton negara, Ong Yew Sin dan bekas jaguh perseorangan Jepun Aya Ohori kini bergelar pasangan suami isteri selepas mendaftarkan perkahwinan mereka secara rasmi di Pejabat Pendaftaran Negara (JPN) Melaka, 19 Jun lalu.
Pemain beregu negara berusia 30 tahun berkahwin dengan Aya 28 tahun di negeri kelahiran Ong dalam majlis yang serba ringkas ditemani keluarga dan sahabat terdekat.
Pasangan ini mula berkenalan beberapa tahun lalu ketika sama-sama aktif dalam kancah badminton antarabangsa, sebelum mengumumkan pertunangan pada Mac lepas.
Perkahwinan mereka menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat sukan kerana keunikan cinta rentas sempadan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, turut mengucapkan tahniah menerusi media sosial rasmi beliau.
“Tahniah kepada Ong Yew Sin & isteri yang cantik, Aya Ohori. Terima kasih kerana datang ke Subang Jaya untuk memperkenalkan Aya kepada saya,” katanya.

Ong bersama rakan gelanggangnya Teo Ee Yi kini dalam kedudukan 31 dunia bagi pemain beregu profesional. Manakala Aya pula pernah mencapai kedudukan tertinggi di rangking no 7 dunia pada 2024 .

