Peminat matcha kini berdepan krisis kekurangan bekalan yang semakin meruncing apabila gelombang haba ekstrem menjejaskan pengeluaran tencha iaitu daun teh utama yang digunakan untuk menghasilkan matcha berkualiti tinggi.
Menurut laporan Reuters, musim panas lalu merupakan antara yang paling panas pernah direkodkan di Jepun, menyebabkan kanopi perlindungan daun tencha rosak teruk. Akibatnya, hasil tuaian jatuh mendadak.
Seorang petani generasi keenam, Masahiro Yoshida, hanya mampu menuai 1.5 tan, berbanding dua tan pada musim sebelumnya penurunan sebanyak 25%.
Harga Matcha Melonjak 170%
Disebabkan pengeluaran terjejas, harga purata matcha kini meningkat mendadak. Lelongan di Kyoto mencatatkan harga ¥8,235 sekilogram (sekitar RM260) pada Mei 2025 berbanding sekitar ¥3,050/kg (RM97.60) pada tahun lalu, peningkatan mendadak hampir 170%.
Permintaan Global Meletup
Fenomena matcha latte, smoothie, makanan viral dan statusnya sebagai ‘superfood’ popular dalam kalangan generasi muda menjadikan permintaan global semakin tinggi tepat ketika bekalan mula merosot.
Salah satu pengusaha teh, Tealife di Singapura, mengakui mereka kini terpaksa mengenakan had pembelian kepada pelanggan.
“I’m basically always out of stock,” ujar jurucakap syarikat itu.
Tiada Jalan Pintas
Lebih membimbangkan, proses penanaman semula tencha mengambil masa sekurang-kurangnya 5 tahun untuk matang sepenuhnya. Ini bermakna tiada penyelesaian segera dalam masa terdekat dan krisis dijangka berpanjangan sekurang-kurangnya hingga penghujung 2026.








